Kaji semula sukatan subjek sastera


Utusan Malaysia bertarikh 24 Disember 2009 – KAJI SEMULA SUKATAN SUBJEK SASTERA

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merakamkan ucapan terima kasih atas keperihatan dan pandangan Sasterawan Negara Ke-10, Y.Bhg Datuk Dr. Anwar Ridwan dalam ruangan Surat kepada Pengarang – Utusan Malaysia bertarikh 24 Disember 2009 bertajuk, “KAJI SEMULA SUKATAN SUBJEK SASTERA”.

KPM sentiasa bersikap telus dan terbuka serta menerima cadangan dan pandangan daripada semua pihak bagi memantapkan sukatan pendidikan Negara.

Untuk makluman Y.Bhg. Datuk, KPM sedang merangka, memperhalusi skop dan kandungan Standard Kurikulum sekolah menengah yang akan dilaksanakan pada tahun 2012 bermula dengan murid Tingkatan Satu. Transformasi kurikulum yang dilaksanakan itu bukan sahaja terhad kepada mata pelajaran teras sahaja tetapi juga melibatkan mata pelajaran elektif. Kurikulum baharu yang diwijudkan menekankan kepada aspek standard pencapaian yang harus di capai oleh setiap murid melalui standard kandungan dan standard pembelajaran yang terdapat dalam Standard Kurikulum yang sedang digubal. Dalam hal ini, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu elektif atau KM(e) yang dipelajari oleh murid Tingkatan 4 dan 5 tidak terkecuali mengalami transformasi kurikulum.

Kurikulum yang dibina atau digubal memberikan penekanan kepada nilai-nilai kemanusiaan dan semangat patriotik untuk menyedarkan murid tentang peranan dan tanggungjawab mereke sebagai warganegara maju dan masyarakat berkilmu. Namun aspek-aspek sastera seperti tema, persoalan, plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa dan sebagainya didedahkan juga kepada murid sebagai asas untuk mengenal aspek kesusasteraan itu. Aspek-aspek teknikal ini perlu diajar dan diketahui oleh murid-murid Tingkatan 4 dan 5 yang mengambil mata pelajaran KM(e) kerana ia merupakan asas untuk menanamkan semangat cinta akan sastera dan bahasa kearah melahirkan generasi yang mencintai kesusasteraan Melayu dalam kalangan murid. Namun begitu, penekanan kepada aspek penyediaan pasaran pekerjaan tidak diabaikan. Dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan 5, turut didedahkan kepada murid bagaimana untuk menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif, skrip drama dan mempersembahkan puisi. Pengajaran penghasilan karya-karya ini berlaku setelah murid didedahkan aspek-aspek teknikal dalam sastera. Dengan melengkapkan murid tersebut dengan ilmu sastera diharapkan mereka dapat menghayati, menghargai, mencintai dan memupuk rasa bangga terhadap bahasa dan sastera Melayu dalam bidang pendidikan dan kerjaya ke arah pemantapan cita rasa bahasa dan sastera dalam kalangan murid.

Sejajar dengan matlamat Kesusasteraan Melayu itu, KPM menggalakkan murid-murid aliran sains atau aliran sastera untuk mengambil mata pelajaran KM(e) sebagai mata pelajaran pilihan. Apatah lagi dalam sistem peperiksaan terbuka murid-murid digalakkan untuk mengambil mata pelajaran KM(e) sebagai mata pelajaran tambahan. Sebagai langkah permulaan ke arah memberi nafas baharu dalam dunia sastera, pihak KPM telah menggunakan teks baharu untuk menggantikan teks lama yang digunakan sejak tahun 2000. Dengan penggantian teks baharu yang digunakan pada tahun ini diharapkan bilangan murid yang mengambil mata pelajaran KM(e) khasnya dari aliran sains akan bertambah dari setahun ke setahun. Penukaran teks ini bukan sahaja terhad kepada teks KM(e) sahaja tetapi teks KOMSAS (Kompenen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia). Aspek-aspek sastera ini jua tercerna dalam KOMSAS Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Penyemaian dan penyuburan yang disemai kepada murid-murid sekolah menengah akan menanamkan rasa kecintaan kepada dunia kesusasteraan Melayu.

Disamping itu, bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran sastera disekolah, mata pelajaran KM(e) turut diberi nafas baharu. Pelbagai pendekatan kaedah dan teknik terkini di dedahkan kepeda guru-guru mata pelajaran KM(e) agar guru-guru dapat merangsang minda murid untuk menghayati dunia kesusasteraan. Pembelajaran yang menyeronokkan diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran KM(e). Melalui pendekatan kaedah dan teknik yang pelbagai diharapkan dapat menyemai dan mengembangkan bakat murid sekaligus memberi ruang kepada murid untuk berkarya dan menjadikan penghasilan karya kreatif itu sebagai kerjaya mereka suatu masa nanti. Malah penghasilan karya mereka bukan sahaja terbatas di sekolah menegah sahaja tetapi juga di peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat universiti.

Melalui transformasi kurikulum yang akan dilaksanakan ini, diharapkan bilangan generasi muda yang mencintai dunia kesusasteraan di Negara kita bertambah dan dapat melahir kan generasi yang mampu menjadikan bidang sastera sebagai industri Negara.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

11 JANUARI 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s