Kaji pendidikan khas anak istimewa


Utusan Malaysia bertarikh 28 Disember 2009 – KAJI PENDIDIKAN KHAS ANAK ISTIMEWA

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ”SUNGAIP, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dalam ruangan Surat kepada Pengarang (Utusan Malaysia bertarikh 28 Disember 2009 – Kaji Pendidikan Khas Anak Istimewa).

Pihak KPM sangat menghargai kepekaan dan keprihatinan penulis terhadap keperluan anak istimewa dalam arus pendidikan.

Kementerian sentiasa peka terhadap pendidikan anak-anak istimewa termasuk mereka yang mempunyai masalah pembelajaran. Prinsip ekuiti menjadi asas dalam usaha membangunkan kurikulum. Pertimbangan perlu dibuat agar murid-murid berkeperluan khas diberi peluang yang sama dengan murid-murid yang lain. Kualiti pendidikan mereka dipertingkatkan agar mereka dapat menguasai Kurikulum Alternatif yang telah dibina khas untuk mereka. Mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2007, “Kurikulum Alternatif ertinya kurikulum yang dibina khusus atau apa-apa kurikulum latihan kemahiran yang digunakan dianggap sesuai dan bermanfaat bagi murid berkeperluan khas”.

Bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK) Masalah Pembelajaran Tahap Satu, terdapat hanya lima mata pelajaran iaitu Pengurusan Kehidupan, Asas 3M, Seni Kreatif, Pendiidkan Islam/Moral dan Pendidikan Jasmani. Komponen-komponen yang terdapat di dalam mata pelajaran Pengurusan Kehidupan ialah Pengurusan Diri, Pengurusan Tingkah Laku dan Kemahiran Manipulatif. Asas 3M merangkumi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik. Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik pula merupakan komponen dalam mata pelajaran Seni Kreatif.

Menurut Akta Pendidikan 1996, Bab 8 Pendidikan Khas, Seksyen 41, Subseksyen (1) (B) Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, “dalam melaksanakan kurikulum pendidikan khas, guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas”.

Pendekatan yang diambil dapat menentukan komposisi yang terbaik dan sesuai untuk murid bermasalah pembelajaran. Mereka yang tidak kurang dari segi aptitud/intelek turut diberi sokongan untuk menguasai kurikulum arus perdana, agar potensi mereka dapat dipertingkatkan secara menyeluruh dan optimum. Mereka ditempatkan di Program-program Inklusif bersama-sama murid biasa di kelas aliran perdana. Murid-murid tersebut dibenarkan mengambil peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM. Berdasarkan pencapaian, mereka boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di SMPK(V) Indahpura, Kulai, Johor atau sekolah-sekolah menengah teknik yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Khas.

KPM sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan untuk murid berkeperluan khas selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan semua murid diberi peluang untuk mendapat pendidikan yang sama rata. Semoga usaha murni KPM ini mendapat sokongan padu daripada semua pihak demi kejayaan murid berkeperluan khas.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

18 JANUARI 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s